Thursday, June 9, 2011

Friday, January 14, 2011

tragedi 13/1/11

Tak sangka anak kemalangan

BAGAN DATOH - Seorang bapa di sini, tidak menyangka berita kemalangan yang didengarnya turut melibatkan ahli keluarganya.

Muhamad Sahit Sulaiman, 46, berkata, dia mengetahui berita itu selepas menunaikan solat subuh di masjid berhampiran kampungnya.

Menurutnya, dia tidak menyangka akan kehilangan anak kedua, Muhamad Syazril, 19, daripada empat anaknya.

"Saya tidak menyangka Syazril turut terlibat dalam kemalangan ini kerana saya dimaklumkan dia sedang bekerja sebagai pengawal keselamatan di salah sebuah kilang dekat sini.

"Namun begitu saya redha dengan apa yang berlaku,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya di Parit 21, semalam.

Kejadian yang meragut nyawa Syazril itu berlaku di Kilometer (KM) 19 Bagan Datoh-Hutan Melintang kira-kira jam 4.45 pagi, semalam melibatkan sebuah kereta dan pacuan empat roda.

Pada kejadian itu, Syazril meninggal dunia di tempat kejadian, manakala dua lagi cedera.

Syazril periang, suka membantu

Manakala: isterinya, Mazni Masron, 38, berkata, arwah anaknya itu tidak menunjukkan tanda-tanda pelik kerana dia sentiasa ceria dan sering membuatkan keluarganya gembira.

Menurutnya, namun begitu, sebelum kejadian, arwah anaknya akan berdoa lebih lama setelah selesai sembahyang berbanding sebelum ini.

"Syazril baru empat bulan bekerja sebagai pengawal keselamatan di situ," katanya.

Mazni berkata, anaknya sangat rapat dengannya dan seorang anak yang ringan tulang.

“Syazril adalah seorang yang periang dan rumah kami tidak pernah sunyi bila dia ada di rumah.

"Dia anak yang baik dan rajin membantu saya membuat kerja-kerja rumah ketika saya bekerja di kilang berhampiran,” katanya.

Enjin tercabut, kereta dipandu laju

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, kejadian itu berlaku apabila kereta yang dinaiki oleh Muhamad Syazril dari arah Hutan Melintang ke Bagan Datoh bersama rakannya, Ahmad Miqdad Basarudin, 19, terbabas sebelum terlanggar besi penghalang jambatan di sebelah kiri pemandu.

Menurutnya, siasatan awal polis mendapati kereta yang dinaiki Syazril bersama rakannya itu dipandu laju sehingga terbabas dan merempuh jambatan sebelum terbalik.

"Kejadian ini menyebabkan enjin kereta jenis Mazda berkenaan tercabut dan berada di tengah jalan sebelum dilanggar sebuah kereta pacuan empat roda daripada arah Bagan Datoh ke Hutan Melintang.

“Kereta pacuan empat roda yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 61 turut terbalik apabila dia cuba mengelak daripada merempuh enjin kereta berkenaan," katanya.

Kok Liang berkata, lelaki itu mengalami kecederaan dan masih dirawat di Hospital Teluk Intan.

"Syazril cedera parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala rakannya cedera parah dan masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Teluk Intan,” katanya.

Katanya, pihaknya akan menjalankan siasatan di bawah Sekyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mengenal pasti punca kejadian,” katanya.

Sinar Harian difahamkan, jenazah mangsa dituntut oleh keluarganya kira-kira 11 pagi, semalam di bilik forensik Hospital Teluk Intan untuk urusan pengebumian.

Monday, January 3, 2011